Friday, August 15, 2008

Sinar Harian Edisi Terengganu
Julai 2008

Rumah Murah Bukit Kuang, Kemaman – Ihsan An-Nuur Iman (IHSANI) semakin agresif menjalankan kerja-kerja amal bagi meningkatkan lagi imej badan bukan kerajaan (NGO) itu pada mata masyarakat.
Terbaru, IHSANI menyerahkan sumbangan makanan asas dan sebuah basikal kepada warga miskin, Mohamad Ali,45, yang tinggal di Rumah Murah Bukit Kuang, kelmarin.
Menurut Ketua Penyelaras Program, Azman Mohamad, IHSANI memahami keperitan hidup masyarakat berpendapatan rendah apatah lagi dengan kenaikan harga barang keperluan asas yang melambung sejak akhir-akhir ini.
“Pihak kami mencari warga miskin untuk diberikan bantuan di bawah program Prihatin Dan Penyayang, Mohamad tidak bekerja lantaran menghidap penyakit kronik sejak 10 tahun lalu,” kata Azman ketika ditemui SINAR HARIAN selepas majlis penyerahan keperluan dapur dan basikal di Rumah Murah Bukit Kuang, kelmarin.
Menurutnya, Mohamad mendiami rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin(PPRT) dan mempunyai enam anak yang masih kecil. “Lantaran kesempitan hidup, dua anaknya diserahkan kepada keluarga angkat untuk dijaga, dua anaknya tidak bersekolah dan hanya dua anaknya yang mampu ditanggung persekolahannya,”katanya.
Katanya lagi dia mahu masyarakat membuka mata terhadap masalah rakyat dan saling Bantu membantu pada saat ekonomi negara yang tidak stabil.
“Alhamdulilah, IHSANI memperoleh dana melalui beberapa syarikat dan individu yang menyumbang. Dana yang ada akan diserahkan kepada individu yang senasib dengan Mohamad,”katanya.