Tuesday, September 16, 2008

An~Nuur Iman, JKKK Jalin Kerjasama erat

Sinar Harian Edisi Terengganu
September, 2008

KAMPUNG TENGAH, KEMAMAN
Kerjasama erat yang terjalin antara komuniti badan kebajikan Ihsan An~Nuur Iman dan Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Bandar Chukai mampu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk.
Perbincangan yang dilakukan antara kedua belah pihak mampu meleraikan pelbagai masalah penduduk seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan bagi memastikan semua rakyat mendapat perhatian tanpa mengira agama, ideologi politik dan bangsa.
Senario ini diakui Presiden An~Nuur Iman, Suffiean Hj. Sulaiman dan Setiausaha JKKK Kg. Tengah, Ahmad Amran Baba.
Bagi Suffiean, rangkaian kerjasama yang dibentuk mampu menyalurkan maklumat secara telus dan tepat demi kesejahteraan hidup masyarakat.
“Badan ini mahu membina jalinan yang baik antara An~Nuur Iman dan JKKK di daerah ini, tiada pilih kasih dalam menyelesaikan masalah rakyat, mereka yang berhak harus diberi bantuan, “ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.
Tambahnya, hasil aktiviti ‘An~Nuur Iman masuk kampung’ beliau mendapati masih ramai rakyat yang hidup miskin dan pelbagai perkara harus dilakukan untuk mengubah situasi itu menjadi lebih baik.
Sementara itu, Ahmad Amran menyatakan, dia mengaluk-alukan kunjungan pihak luar ke kampung itu bagi melihat sendiri keadaan hidup masyarakat secara realiti.