Thursday, December 31, 2009

Ihsan An~Nuur Iman (IHSANI) ditubuhkan dalam tahun 2008 dibawah daftar niaga. IHSANI menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk di antaranya sokongan moral dan material seperti keperluan harian dan pendidikan. Terkini lebih 150 orang sukarelawan dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ICT, perubatan, kaunseling , perniagaan dan lain-lain menyertai IHSANI dalam melakukan kerja-kerja amal.IHSANI mempunyai hanya satu matlamat dalam penubuhannya. Ianya adalah bagi membantu golongan yang memerlukan. Bantuan tidaklah hanya kepada keperluan kebendaan atau wang ringgit semata-mata. Bantuan dari membaiki taraf hidup, motivasi dan pengukuhan asas hidup adalah lebih bermakna dari segala keperluan yang berbentuk kebendaan.

Wednesday, December 31, 2008

SATU KELUARGA...SATU BERAS

Allah menegaskan di dalam surah al-Hadid ayat 7 yang bermaksud,
"Berimanlah kamu pada jalan Allah dan Rasulnya dan nafkahkanlah hartamu yang Allah berikan kepadamu. Orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan sebahagian daripada hartanya, memperoleh pahala yang besar."
Ayat di atas menunjukkan keutamaan menyumbang harta dan Allah memuliakan orang-orang yang melakukannya.


IHSANI mengajak semua SUKARELAWAN DAN TEMAN-TEMAN khususnya yang berada di KEMAMAN membelanjakan sedikit duit untuk membeli SEKAMPIT BERAS(5-10 Kg) atau keperluan dapur yang lain untuk diberikan kepada golongan miskin yang ternyata masih ramai di bumi Terengganu ini.
Sumbangan anda boleh dihantar ke pejabat IHSANI di Jalan Jakar, Kemaman.
Hubungi kami di 019-9222 070 atau email
ihsan.annuuriman@gmail.com untuk maklumat lanjut.
Terlebih dahulu IHSANI ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sumbangan yang telah dihulurkan.


Friday, December 12, 2008

IHSANI Dekatkan Remaja Dengan Aktiviti Kebajikan

Gambar ini diambil ketika IHSANI mengadakan Majlis BBQ yang mana turut dihadiri oleh para remaja di sekitar bandar Chukai. Setelah diberi penerangan berkenaan aktiviti kebajikan yang dijalankan oleh pihak IHSANI, para remaja ini berminat untuk menyertai program-program yang akan diadakan pada masa akan datang. Mereka kini telah pun berdaftar sebagai sukarelawan IHSANI.

Friday, December 5, 2008

Majlis Perpisahan

Gambar kenangan: Rahmat (Dua dari kanan) bersama Presiden IHSANI dan di antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Pada 05/12/2008 satu majlis perpisahan telah diadakan untuk menghargai sokongan dan pengorbanan salah seorang sukarelawan iaitu Sdra. Rahmat Bin Utoh yang akan berangkat ke Arab Saudi pada 15/12/2008. Beliau telah banyak menyumbangkan idea dan kewangan bagi program2 yang IHSANI telah adakan.
Pemergian beliau ke Arab Saudi adalah disebabkan tugas dan dijangka berada di sana selama 3 tahun. Majlis ini bukan saja dihadiri oleh sukarelawan bahkan rakan sekerja beliau dan juga pemimpin parti politik juga turut hadir. IHSANI mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Wednesday, November 5, 2008

IHSANI Hasrat Tubuh Rumah Kebajikan

Sinar Harian Edisi Terengganu - 05 Nov. 2008

Taman Jakar Jaya- Ihsan An-Nuur Iman (IHSANI) berhasrat menubuhkan rumah kebajikan anak yatim di daerah ini bagi membela nasib mereka sehingga mampu menjadi golongan yang berguna suatu hari kelak.
Menurut Presiden IHSANI, Suffiean Sulaiman, daerah ini dipilih memandangkan tidak ada lagi rumah kebajikan dibina sedangkan terdapat ramai anak-anak yatim yang perlu dibantu di daerah ini.
"IHSANI akan membawa cadangan ini kepada kerajaan negeri dan mengharapkan kerjasama yang baik demi membantu golongan yang memerlukan ini. Tambahan pula, ini kawasan MB dan sewajarnya sebuah kompleks anak yatim ditubuhkan," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.
Sehubungan itu, pihak IHSANI mengalu-alukan cadangan dan bantuan daripada golongan tertentu supaya hasrat ini dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.
"Semua pihak samada orang perseorangan, NGO lain mahupun agensi awam dan swasta boleh berkunjung ke pejabat IHSANI di Taman Jakar Jaya bagi membincangkan perkara ini ataupun hubungi saya menerusi talian 09-8595 570. Matlamat kami adalah untuk mengumpulkan anak yatim di rumah tersebut hingga mereka membantu pula adik-adik mereka yang lain," kata Suffiean.
Menurut beliau, IHSANI ditubuhkan untuk melakukan kerja kebajikan dan bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.
"Agenda politik tidak timbul sama sekali dalam konteks ini, IHSANI mahu mengamalkan konsep berkecuali dan memberi bantuan kepada semua pihak tanpa adanya pilih kasih, mereka yang berhak harus diberi hak mereka.
"Sehingga kini terdapat 327 orang sukarelawan di IHSANI yang berdaftar di Besut, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun," katanya yang turut memberitahu bahawa IHSANI ditubuhkan pada Julai 2008 di bawah akta syarikat.
Sementara itu, IHSANI juga boleh dihubungi melalui laman web iaitu http://annuuriman.blogspot.com/ atau email di ihsan.annuuriman@gmail.com

Monday, November 3, 2008

IHSANI Dan Agensi Insan Mesra Jalin Kerjasama

Di dalam usaha mewujudkan peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan universiti, IHSANI dan Agensi Insan Mesra telah menjalinkan kerjasama erat kepada mereka yang berminat menyertai peluang kerjaya sebagai wakil Takaful Ikhlas.

"Agensi Insan Mesra yang mewakili Syarikat Takaful Ikhlas Sdn Bhd akan cuba melatih dan memberi tunjuk ajar secara berterusan dalam usaha mewujudkan rangkaian Perunding Takaful Ikhlas terutama di Negeri Terengganu," kata Azizal yg merupakan Pengurus Agensi Insan Mesra.
"Banyak kelebihan yang terdapat di Takaful Ikhlas di antaranya ialah pendapatan berterusan, bonus, EPF, Konvensyen luar negara, Malam Anugerah dan bermacam-macam lagi," katanya.

Presiden IHSANI, Suffiean Hj. Sulaiman berkata IHSANI pula berperanan dalam menyediakan ruang pejabat bagi kemudahan kepada wakil-wakil Takaful Ikhlas yang baru dilantik. Ibu pejabat IHSANI di Kemaman kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti talian telefon, fax, internet dan susun atur perabut yang selesa bagi memudahkan urusan kerja atau bertemu pelanggan diadakan.
Menurut Suffiean, wakil-wakil Takaful Ikhlas di bawah program ini tidak akan dikenakan sebarang bentuk pembayaran cuma mereka digalakkan memberi sumbangan ikhlas ke dalam tabung IHSANI bagi tujuan mengadakan program kebajikan.

Kepada mereka yang berminat, sila hubungi/sms talian kami 019 9222 799 atau email di ihsan.annuuriman@gmail.com

Thursday, October 23, 2008

Program Gotong Royong Mengindahkan Kawasan Rumah An-Nuur Iman

Salam kepada semua sukarelawan IHSANI.
Pada 25/10/2008, IHSANI akan mengadakan aktiviti gotong royong bertempat di Rumah An-Nuur Iman yang terletak di No. 2851, Jalan Pungguk,Taman Jakar Jaya, 24000 Kemaman, Terengganu. Aktivi bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Tujuan mengadakan aktiviti ini adalah bagi mengindahkan kawasan persekitaran rumah dan juga menyusun atur perabut yang telah disumbangkan oleh Syarikat Kumpulan AiWorld. Semua dijemput hadir samada ahli atau bukan ahli. Sekian, terima kasih.

Aturcara :-
9.00 am : Pendaftaran
9.15 am : Sarapan pagi
9.30 am : 1.00 pm - Aktiviti gotong royong
1.00 pm - 2.00 pm : Makan Tengahari
2.00 pm - 3.00 pm : Sambung kerja & bersurai

Friday, October 17, 2008

Program Utk Anak-anak IHSANI

Bagi memeriahkan lagi suasana percutian persekolahan, IHSANI bercadang mengadakan satu program iaitu Pertandingan Mewarna untuk anak-anak sukarelawan IHSANI untuk daerah Kemaman. Program ini yang masih lagi peringkat cadangan dan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membentuk jawatankuasa untuk merealisasikan program ini. Kepada yang berminat sila hubungi Pengarah Bahagian Program di talian hotline 019-9222 070 / 019-9222799

Thursday, October 16, 2008

IHSANI menjalankan aktiviti gotong royong

Berkenaan Gambar: Sukarelawan IHSANI melipat pakaian di rumah Pn. Zainab yang terpaksa menjaga suaminya yang sakit selain turut memberi perhatian kepada dua anaknya yang terencat akal.
Sinar Harian - 16 Oktober 2008
Kampung Bukit Mentok - Ruang tamu yang berselerak dengan pakaian terpakai dan limpahan sampah sarap mengundang rasa simpati kepada sebuah badan bukan kerajaan(NGO), Ihsan An~Nuur Iman (IHSANI) untuk tampil membersihkan rumah Abdullah Osman,80, di Kampung Bukit Mentok.
Abdullah sendiri sudah tiada berdaya untuk berdiri apatah lagi dia mempunyai dua anak yang terencat akal, urusan makan minumnya diuruskan oleh isterinya, Zainab Omar,55. Beliau pula sudah tidak mampu untuk menguruskan semuanya, dia perlu memberi perhatian kepada suaminya dan pada masa yang sama dia juga harus menjaga dua anaknya yang cacat.
IHSANI bersama 10 sukarelawan tampil melakukan kerja amal dengan membersihkan bahagian dalam rumah Abdullah dengan harapan mereka dapat melalui kehidupan dengan lebih selesa. Menurut Presiden , Suffiean Hj. Sulaiman, sukarelawan IHSANI menyusun pakaian, membersihkan bahagian dapur, menyapu sampah dan mencuci bahagian rumah yang terlalu kotor.
"Kami membuang rasa jijik ketika melakukan kerja pembersihan, saya kagum dengan semangat sukarelawan kerana mereka sanggup bersusah payah, bukan mudah membersihkan bahagian rumah ini yang semuanya berselerak dengan pakaian dan sampah sarap," ujar Suffiean.
Tambah beliau, bagi sesiapa mempunyai maklumat mereka yang memerlukan bantuan IHSANI, hubungi beliau menerusi talian 019-9222 070

IHSANI dan PRIBUMI Jalin Kerjasama.

Ihsan An-Nuur Iman atau IHSANI sebuah badan kebajikan bersama Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) akan menjalinkan usahasama bagi mewujudkan beberapa program kebajikan bagi membantu golongan yg kurang berkemampuan untuk meringankan beban mereka.
Sebagai langkah permulaan PRIBUMI yg berpusat di Kuala Lumpur kini giat mengumpul pakaian baru dan terpakai di kalangan ahli mereka yg masih boleh digunakan untuk disumbangkan kepada golongan miskin yg mana telah dikenal pasti oleh pihak An-Nuur Iman yg kini aktif menjalankan kerja-kerja amal terutama di daerah Kemaman.
Presiden Ihsan An-Nuur Iman, En. Suffiean Sulaiman berkata tujuan kita mengadakan program sebegini bagi menyedarkan masyarakat adalah satu tanggungjawab kita bersama bagi membantu golongan yang memerlukan.
“ Kita tidak seharusnya lupa atau mengabaikan tanggungjawab kita sesama insan, malah dengan adanya program sebegini sekurang-kurang boleh memberi sedikit keceriaan dan seterusnya dapat meringankan beban keluarga terutama dalam situasi ekonomi dan kenaikan harga barang yang tidak menentu. Katanya ketika ditemui di pejabat An-Nuur Iman Daerah Kemaman.
Menurut beliau juga sokongan atau sumbangan yang berterusan kepada golongan ini boleh mengeratkan lagi silatulrahim di antara kita sesama manusia tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan yang paling penting ideologi politik.
An-Nuur Iman juga mengalu-alukan sumbangan berupa pakaian baru atau terpakai, barangan keperluan dapur dan juga perabot terpakai untuk diberikan kepada mereka yg kurang berkemampuan dan bernasib baik.
“Manakala Exco PRIBUMI Kawasan Pantai Timur, Razali Mohamad berkata PRIBUMI akan sentiasa berhubung rapat dengan An-Nuur Iman bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang dikira relevan dari masa ke semasa bagi mejayakan usaha An-Nuur Iman yang dianggap satu badan kebajikan yang aktif mencari sumber bantuan dan memberi idea kepada syarikat korporat dan individu tertentu khususnya bagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan ini.
Sebarang maklumat atau pertanyaan, bolehlah menghubungi An-Nuur Iman di talian hotline 019 9222 070 atau email ihsan.annuuriman@gmail.com

Ihsan An-Nuur Iman Bantu Graduan IPT

Ihsan An-Nuur Iman (IHSANI) yang berpusat di Kemaman merupakan sebuah badan NGO yang begitu aktif dalam khidmat kemasyarakatan dan kebajikan dengan menyediakan bantuan keperluan asas kepada golongan miskin khususnya, kini mengorak setapak lagi dengan menyediakan khidmat mencari pekerjaan secara percuma kepada graduan IPT. Ini dilakukan melalui jaringan An-Nuur Iman dengan syarikat-syarikat korporat di seluruh negeri Terengganu.

Menurut Pengarah Bahagian Sumber Manusia An~Nuur Iman, En Razali Mohamad, khidmat ini disediakan setelah mendapati kadar pengangguran yang tinggi hari ini sedikit sebanyak disebabkan oleh kerana banyak majikan yang tidak mengiklankan jawatan kosong di media cetak atau media elektronik. Sebagai contoh sesebuah syarikat mungkin mendapati tidak berbaloi untuk mengiklankan sesuatu jawatan dan kebiasaannya majikan hanya mengharapkan rujukan dari para pekerja syarikat sahaja. Khidmat kami cuba untuk memadankan para graduan dengan peluang kerja yang mungkin wujud di syarikat-syarikat tersebut. Ini menguntungkan kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan para graduan.

An-Nuur Iman cuma mengharapkan graduan yang telah berjaya dan juga para majikan akan dapat menyumbang secara ikhlas ke arah usaha An-Nuur Iman meluaskan khidmat kemasyarakatan dan kebajikan di Terengganu khususnya.

Para graduan dan majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi An-Nuur Iman di talian 019-9222 070 atau email di ihsan.annuuriman@gmail.com

Tuesday, September 16, 2008

An~Nuur Iman, JKKK Jalin Kerjasama erat

Sinar Harian Edisi Terengganu
September, 2008

KAMPUNG TENGAH, KEMAMAN
Kerjasama erat yang terjalin antara komuniti badan kebajikan Ihsan An~Nuur Iman dan Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Bandar Chukai mampu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk.
Perbincangan yang dilakukan antara kedua belah pihak mampu meleraikan pelbagai masalah penduduk seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan bagi memastikan semua rakyat mendapat perhatian tanpa mengira agama, ideologi politik dan bangsa.
Senario ini diakui Presiden An~Nuur Iman, Suffiean Hj. Sulaiman dan Setiausaha JKKK Kg. Tengah, Ahmad Amran Baba.
Bagi Suffiean, rangkaian kerjasama yang dibentuk mampu menyalurkan maklumat secara telus dan tepat demi kesejahteraan hidup masyarakat.
“Badan ini mahu membina jalinan yang baik antara An~Nuur Iman dan JKKK di daerah ini, tiada pilih kasih dalam menyelesaikan masalah rakyat, mereka yang berhak harus diberi bantuan, “ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.
Tambahnya, hasil aktiviti ‘An~Nuur Iman masuk kampung’ beliau mendapati masih ramai rakyat yang hidup miskin dan pelbagai perkara harus dilakukan untuk mengubah situasi itu menjadi lebih baik.
Sementara itu, Ahmad Amran menyatakan, dia mengaluk-alukan kunjungan pihak luar ke kampung itu bagi melihat sendiri keadaan hidup masyarakat secara realiti.



Friday, August 15, 2008

Sinar Harian Edisi Terengganu
Julai 2008

Rumah Murah Bukit Kuang, Kemaman – Ihsan An-Nuur Iman (IHSANI) semakin agresif menjalankan kerja-kerja amal bagi meningkatkan lagi imej badan bukan kerajaan (NGO) itu pada mata masyarakat.
Terbaru, IHSANI menyerahkan sumbangan makanan asas dan sebuah basikal kepada warga miskin, Mohamad Ali,45, yang tinggal di Rumah Murah Bukit Kuang, kelmarin.
Menurut Ketua Penyelaras Program, Azman Mohamad, IHSANI memahami keperitan hidup masyarakat berpendapatan rendah apatah lagi dengan kenaikan harga barang keperluan asas yang melambung sejak akhir-akhir ini.
“Pihak kami mencari warga miskin untuk diberikan bantuan di bawah program Prihatin Dan Penyayang, Mohamad tidak bekerja lantaran menghidap penyakit kronik sejak 10 tahun lalu,” kata Azman ketika ditemui SINAR HARIAN selepas majlis penyerahan keperluan dapur dan basikal di Rumah Murah Bukit Kuang, kelmarin.
Menurutnya, Mohamad mendiami rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin(PPRT) dan mempunyai enam anak yang masih kecil. “Lantaran kesempitan hidup, dua anaknya diserahkan kepada keluarga angkat untuk dijaga, dua anaknya tidak bersekolah dan hanya dua anaknya yang mampu ditanggung persekolahannya,”katanya.
Katanya lagi dia mahu masyarakat membuka mata terhadap masalah rakyat dan saling Bantu membantu pada saat ekonomi negara yang tidak stabil.
“Alhamdulilah, IHSANI memperoleh dana melalui beberapa syarikat dan individu yang menyumbang. Dana yang ada akan diserahkan kepada individu yang senasib dengan Mohamad,”katanya.