Wednesday, November 5, 2008

IHSANI Hasrat Tubuh Rumah Kebajikan

Sinar Harian Edisi Terengganu - 05 Nov. 2008

Taman Jakar Jaya- Ihsan An-Nuur Iman (IHSANI) berhasrat menubuhkan rumah kebajikan anak yatim di daerah ini bagi membela nasib mereka sehingga mampu menjadi golongan yang berguna suatu hari kelak.
Menurut Presiden IHSANI, Suffiean Sulaiman, daerah ini dipilih memandangkan tidak ada lagi rumah kebajikan dibina sedangkan terdapat ramai anak-anak yatim yang perlu dibantu di daerah ini.
"IHSANI akan membawa cadangan ini kepada kerajaan negeri dan mengharapkan kerjasama yang baik demi membantu golongan yang memerlukan ini. Tambahan pula, ini kawasan MB dan sewajarnya sebuah kompleks anak yatim ditubuhkan," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.
Sehubungan itu, pihak IHSANI mengalu-alukan cadangan dan bantuan daripada golongan tertentu supaya hasrat ini dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.
"Semua pihak samada orang perseorangan, NGO lain mahupun agensi awam dan swasta boleh berkunjung ke pejabat IHSANI di Taman Jakar Jaya bagi membincangkan perkara ini ataupun hubungi saya menerusi talian 09-8595 570. Matlamat kami adalah untuk mengumpulkan anak yatim di rumah tersebut hingga mereka membantu pula adik-adik mereka yang lain," kata Suffiean.
Menurut beliau, IHSANI ditubuhkan untuk melakukan kerja kebajikan dan bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.
"Agenda politik tidak timbul sama sekali dalam konteks ini, IHSANI mahu mengamalkan konsep berkecuali dan memberi bantuan kepada semua pihak tanpa adanya pilih kasih, mereka yang berhak harus diberi hak mereka.
"Sehingga kini terdapat 327 orang sukarelawan di IHSANI yang berdaftar di Besut, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun," katanya yang turut memberitahu bahawa IHSANI ditubuhkan pada Julai 2008 di bawah akta syarikat.
Sementara itu, IHSANI juga boleh dihubungi melalui laman web iaitu http://annuuriman.blogspot.com/ atau email di ihsan.annuuriman@gmail.com