Wednesday, November 5, 2008

IHSANI Hasrat Tubuh Rumah Kebajikan

Sinar Harian Edisi Terengganu - 05 Nov. 2008

Taman Jakar Jaya- Ihsan An-Nuur Iman (IHSANI) berhasrat menubuhkan rumah kebajikan anak yatim di daerah ini bagi membela nasib mereka sehingga mampu menjadi golongan yang berguna suatu hari kelak.
Menurut Presiden IHSANI, Suffiean Sulaiman, daerah ini dipilih memandangkan tidak ada lagi rumah kebajikan dibina sedangkan terdapat ramai anak-anak yatim yang perlu dibantu di daerah ini.
"IHSANI akan membawa cadangan ini kepada kerajaan negeri dan mengharapkan kerjasama yang baik demi membantu golongan yang memerlukan ini. Tambahan pula, ini kawasan MB dan sewajarnya sebuah kompleks anak yatim ditubuhkan," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.
Sehubungan itu, pihak IHSANI mengalu-alukan cadangan dan bantuan daripada golongan tertentu supaya hasrat ini dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.
"Semua pihak samada orang perseorangan, NGO lain mahupun agensi awam dan swasta boleh berkunjung ke pejabat IHSANI di Taman Jakar Jaya bagi membincangkan perkara ini ataupun hubungi saya menerusi talian 09-8595 570. Matlamat kami adalah untuk mengumpulkan anak yatim di rumah tersebut hingga mereka membantu pula adik-adik mereka yang lain," kata Suffiean.
Menurut beliau, IHSANI ditubuhkan untuk melakukan kerja kebajikan dan bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.
"Agenda politik tidak timbul sama sekali dalam konteks ini, IHSANI mahu mengamalkan konsep berkecuali dan memberi bantuan kepada semua pihak tanpa adanya pilih kasih, mereka yang berhak harus diberi hak mereka.
"Sehingga kini terdapat 327 orang sukarelawan di IHSANI yang berdaftar di Besut, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun," katanya yang turut memberitahu bahawa IHSANI ditubuhkan pada Julai 2008 di bawah akta syarikat.
Sementara itu, IHSANI juga boleh dihubungi melalui laman web iaitu http://annuuriman.blogspot.com/ atau email di ihsan.annuuriman@gmail.com

Monday, November 3, 2008

IHSANI Dan Agensi Insan Mesra Jalin Kerjasama

Di dalam usaha mewujudkan peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan universiti, IHSANI dan Agensi Insan Mesra telah menjalinkan kerjasama erat kepada mereka yang berminat menyertai peluang kerjaya sebagai wakil Takaful Ikhlas.

"Agensi Insan Mesra yang mewakili Syarikat Takaful Ikhlas Sdn Bhd akan cuba melatih dan memberi tunjuk ajar secara berterusan dalam usaha mewujudkan rangkaian Perunding Takaful Ikhlas terutama di Negeri Terengganu," kata Azizal yg merupakan Pengurus Agensi Insan Mesra.
"Banyak kelebihan yang terdapat di Takaful Ikhlas di antaranya ialah pendapatan berterusan, bonus, EPF, Konvensyen luar negara, Malam Anugerah dan bermacam-macam lagi," katanya.

Presiden IHSANI, Suffiean Hj. Sulaiman berkata IHSANI pula berperanan dalam menyediakan ruang pejabat bagi kemudahan kepada wakil-wakil Takaful Ikhlas yang baru dilantik. Ibu pejabat IHSANI di Kemaman kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti talian telefon, fax, internet dan susun atur perabut yang selesa bagi memudahkan urusan kerja atau bertemu pelanggan diadakan.
Menurut Suffiean, wakil-wakil Takaful Ikhlas di bawah program ini tidak akan dikenakan sebarang bentuk pembayaran cuma mereka digalakkan memberi sumbangan ikhlas ke dalam tabung IHSANI bagi tujuan mengadakan program kebajikan.

Kepada mereka yang berminat, sila hubungi/sms talian kami 019 9222 799 atau email di ihsan.annuuriman@gmail.com