Thursday, October 16, 2008

IHSANI menjalankan aktiviti gotong royong

Berkenaan Gambar: Sukarelawan IHSANI melipat pakaian di rumah Pn. Zainab yang terpaksa menjaga suaminya yang sakit selain turut memberi perhatian kepada dua anaknya yang terencat akal.
Sinar Harian - 16 Oktober 2008
Kampung Bukit Mentok - Ruang tamu yang berselerak dengan pakaian terpakai dan limpahan sampah sarap mengundang rasa simpati kepada sebuah badan bukan kerajaan(NGO), Ihsan An~Nuur Iman (IHSANI) untuk tampil membersihkan rumah Abdullah Osman,80, di Kampung Bukit Mentok.
Abdullah sendiri sudah tiada berdaya untuk berdiri apatah lagi dia mempunyai dua anak yang terencat akal, urusan makan minumnya diuruskan oleh isterinya, Zainab Omar,55. Beliau pula sudah tidak mampu untuk menguruskan semuanya, dia perlu memberi perhatian kepada suaminya dan pada masa yang sama dia juga harus menjaga dua anaknya yang cacat.
IHSANI bersama 10 sukarelawan tampil melakukan kerja amal dengan membersihkan bahagian dalam rumah Abdullah dengan harapan mereka dapat melalui kehidupan dengan lebih selesa. Menurut Presiden , Suffiean Hj. Sulaiman, sukarelawan IHSANI menyusun pakaian, membersihkan bahagian dapur, menyapu sampah dan mencuci bahagian rumah yang terlalu kotor.
"Kami membuang rasa jijik ketika melakukan kerja pembersihan, saya kagum dengan semangat sukarelawan kerana mereka sanggup bersusah payah, bukan mudah membersihkan bahagian rumah ini yang semuanya berselerak dengan pakaian dan sampah sarap," ujar Suffiean.
Tambah beliau, bagi sesiapa mempunyai maklumat mereka yang memerlukan bantuan IHSANI, hubungi beliau menerusi talian 019-9222 070